Pages

20 July 2010

IKRAM Explorace - Leisure & Fun





IKRAM Explorace 2010 – “Leisure & Fun” anjuran Biro Rekreasi dan Sosial, Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan Ikram dengan kerjasama Hezra Connections selaku perunding aktiviti merupakan suatu pertandingan berkonsepkan “outdoor” yang memberi cabaran dalam keseronokan kepada setiap peserta tanpa menyedari setiap aktiviti dan tugasan yang dijalankan diperhati serta dinilai oleh jurulatih atau ‘guide’.

Menepati tajuk program tersebut, para peserta diberi peluang dan didedahkan dengan aktiviti lasak yang amat memerlukan ketahanan mental dan fizikal juga penerapan nilai-nilai murni seperti kerjasama berpasukan, integriti dan kreativiti. Program ini juga menjadi sesi latihan kepada ahli “KK Club” yang akan menjalani program berakit di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31hb Julai 2010 sempena Kempen Nilai Teras – Motivasi yang akan diketuai oleh Tuan Hj. Muhammad Zamri Bin Hassan.

Perjalanan Ikram Explorace 2010 bermula dengan 63 orang peserta berkumpul di IKRAM sebelum bertolak pada jam 7.00 pagi pada 17hb Julai 2010 dengan menaiki bas dan van yang disediakan. Selepas bersarapan di hentian “Rehat dan Rawat” Rawang, perjalanan diteruskan dan tiba di Gopeng pada pukul 11.00pagi.

Setibanya di hentian terakhir jalan masuk ke Kampung Jahang, Gopeng, para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan kecil dimana 5 kumpulan pertama (Kumpulan “A”) diangkut menaiki “limousine” ke lokasi “white water rafting” dan 5 kumpulan kedua (Kumpulan “B”) dibawa untuk menjalani aktiviti “waterfall abseiling”. Limousin” ini menjadi satu-satunya pengangkutan peserta sepanjang 2 hari di Gopeng.


Kumpulan “A” yang terdiri daripada 5 kumpulan kecil dengan setiap kumpulan kecil terdiri dari 5 peserta memulakan aktiviti ‘white water rafting’ dengan diberi taklimat ringkas sebelum menjalani sesi ‘water confident’ sebelum memulakan perjalanan berakit sejauh 8 km dan menempuhi 7 jeram.


Dalam masa yang sama, Kumpulan “B” memulakan cabaran Ikram Explorace dengan ‘waterfall abseiling’. Menuruni lereng batu setinggi 20 meter, sambil dihempas air terjun yang sejuk, para peserta dengan tekad melaksanakan cabaran yang mana bagi kebanyakan peserta merupakan pengalaman pertama.


Selesai aktiviti dan makan tengahari, Kumpulan “A” dan “B” bertukar aktiviti dan masing-masing merasai apa yang dirasai oleh kumpulan lain. Aktiviti sebelah petang menjadi lebih mencabar apabila hujan mulai turun dan aras air sungai meningkat serta arus menjadi lebih deras. Tetapi dengan bantuan ‘guide’ yang terlatih, aktiviti-aktiviti ini menjadi selamat dan seronok.


Selesai aktiviti petang, peserta dibawa ke Kem Murni untuk bermalam. Penginapan di 4 buah rumah 2 tingkat berkonsepkan ‘back-to-nature’ menjadi tempat untuk menghilangkan penat. Dinding anyaman buluh, lantai papan dan atap rumbia memberi pengalaman yang jarang dirasai. Lebih menyeronokkan apabila buah durian gugur menghempap bumbung rumah mengejutkan penghuni.

Selesai makan malam sambil menonton paparan gambar-gambar aktiviti di siang hari, para peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan yang terdiri dari 10 orang untuk tugasan ‘Mystery Night’. Gandingan kostum dan lagu yang ‘tidak kena’ diberi kepada setiap kumpulan untuk dijadikan bahan persembahan.

Dengan kreativiti dan kerjasama, setiap kumpulan berjaya menjadikan persembahan pada malam tersebut unik dan penuh gelak ketawa. Konsep ala-ala rancangan realiti dan komen-komen para ‘juri profesional’ membuatkan para peserta seakan-akan lupa kepada kepenatan beraktiviti di siang hari.

Hari kedua, 18hb Julai 2010 dimulakan dengan acara pemanas badan dengan senaman ringan dan sarapan pagi sebelum Kumpulan “A” bertolak ke lokasi ‘waterfall abseiling’ bagi menyambung aktiviti yang tertangguh dan ianya ditambah dengan sedikit “bonus” iaitu air yang lebih sejuk di pagi hari serta lebih deras akibat hujan manakala peserta lain pula, bermain ‘management games’ dan mandi air terjun sambil makan nasi lemak bungkus.

Kumpulan ini kemudian bertolak ke Gua Kandu untuk program eksplorasi gua. Di sini peserta perlu mendaki bukit selama 20 minit untuk sampai ke pintu gua. Gua yang dahulunya menjadi markas komunis kini telah dijadikan salah satu tempat yang mesti dilawati apabila melawat Gopeng.

Berjalan di dalam gua sambil ‘guide’ menerangkan serba sedikit sejarah gua, kejadian ‘stalagtite’ dan stalagmite’ serta kehidupan anggota komunis di dalam gua merupakan pengalaman yang menarik. Walaubagaimanapun, para peserta merasa sedikit kecewa akibat ketidakperihatinan sesetengah pengunjung terdahulu yang menyebabkan keadaan dalam gua ini menjadi agak cacat apabila sampah dibuang di lubang-lubang yang terbentuk secara semulajadi di dalam gua, dinding gua di conteng dan paling menyedihkan apabila ‘stalagtite’ dan stalagmite’ yang mengambil masa ratusan tahun untuk terbentuk, dipatahkan dan dirosakkan. Kristal yang terbentuk secara semulajadi juga kini telah lenyap apabila diambil oleh pengunjung dan orang tempatan untuk dijadikan ‘buah tangan’ atau dijual.


Selesai melawat gua Kandu, Kumpulan “A” dibawa kembali ke Kem Murni sambil Kumpulan “B” yang memulakan aktiviti hari kedua dengan melawat Gua Kandu dan bermain ‘management games’ di kem telah bersiap untuk makan tengahari. Makan tengahari yang dihidangkan bersama-sama longgokan durian menjadi menu istimewa pada hari kedua.


Upacara penutup kemudiannya diadakan dengan ucapan terima kasih dan penghargaan dari En. Sham Haizal dari Hezra Connections selaku perunding aktiviti Ikram Explorace 2010, disusuli oleh ucapan penghargaan dari Yang diPertua Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan Ikram, Encik Zainal Abidin Bin Abu Bakar serta penyampaian hadiah.


Selesai sesi bergambar sesama peserta dan ‘guide’, peserta dibawa keluar untuk menaiki bas yang menunggu di jalan utama untuk perjalanan pulang.


Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta dengan semangat 1Malaysia, Yang diPertua Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan Ikram, Encik Zainal Abidin Bin Abu Bakar, En. Sham Haizal dari Hezra Connections dan Tuan Haji Muhammad Zamri Bin Hassan selaku Pengerusi Kempen Nilai Teras (Motivasi) di atas penglibatan dan sokongan terhadap program Ikram Explorace 2010.


Sekian.

11 July 2010

ISCAR 2010 (Gambar-gambar dan Para Pemenang)

Perasmian ISCAR 2010











Outdoor-game









Sebahagian Pemenang





Indoor-game