Pages

02 November 2010

NKH LIFECHECK HEALTH SCREENING

UJIAN SARINGAN KESIHATAN BERSAMA YAYASAN BUAH PINGGANG KEBANGSAAN

Pada tahun ini, Biro Kebajikan sekali lagi telah turutserta di dalam “NKF Early Detection & Prevention Saves Lives Programme” iaitu salah satu aktiviti yang di anjurkan oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan dengan bayaran berbentuk sumbangan sebanyak RM200.00 sahaja.

Program ini telah berlangsung pada hari Rabu 13/10/2010, bertempat di Dewan Persidangan KLIUC bermula jam 10:00 pagi hingga jam 3:30 petang. Seramai lebih kurang 10 orang sukarelawan NKF telah hadir bagi memberikan sumbangan perkhidmatan kepada para peserta program. Mereka terdiri daripada para jururawat dan ahli pemakanan (nutrition).

Ujian saringan kesihatan yang telah di adakan adalah seperti berikut:

1. Ujian Tekanan Darah

2. Ujian Air Kencing

3. Body Mass Index (BMI)

4. Ukur Lilit Pinggang

5. Ujian Tahap Glukos

6. Ujian Kolesterol dan

7. Sesi Kaunseling

Seawal jam 9:50 pagi lagi, warga Ikram mula menghadirkan diri ke Dewan Persidangan. Tepat jam 10:00 pagi, pendaftaran dibuka dan sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Biro Kebajikan terpaksa menutup pendaftaran jam 11:30 pagi memandangkan NKF hanya mampu memberikan perkhidmatan kepada 80-100 peserta sahaja dalam sehari. Seramai 101 peserta berjaya menjalani ujian saringan tersebut. Sesi pertama berakhir tepat jam 1:00 tengahari dan sesi kedua bersambung jam 2:00 petang hingga 3:00 petang.





Biro Kebajikan berasa agak terkilan kerana terdapat beberapa orang warga Ikram yang tidak dapat menyertai program kali ini disebabkan kelewatan mendaftarkan diri di saat akhir. Oleh itu, Biro Kebajikan merancang utk mengadakan program ini selama dua hari berturut-turut pada masa akan datang.

Daripada maklumbalas yang diberikan oleh peserta, kebanyakan daripada kita mempunyai masalah berat badan yang kurang ideal. Ini berpunca daripada cara pemakanan yang tidak seimbang, cara hidup yang kurang sihat seperti merokok, tidur yang tidak berkualiti, kurang atau tidak melakukan senaman/ aktiviti sukan dan sebagainya Akibatnya, berlakukan kegemukan atau obesiti, tekanan darah yang tinggi, tahap glukos dan kolesterol yang tinggi yang akhirnya mendatangkan berbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, strok, jantung dan lain-lain lagi.




Bagaimanapun, masih ada warga ikram yang sihat dan bebas daripada semua gejala di atas. Ini kerana mereka menjalani cara hidup yang sihat dengan menjaga pemakanan, kerap melakukan senaman/ aktiviti sukan serta sering menjalani ujian saringan bagi mengawal/ mengelakkan diri daripada penyakit-penyakit yang disebutkan di atas.



Bagi mereka yang mempunyai masalah semasa ujian dijalankan seperti berat badan yang berlebihan, tahap kolesterol dan glukos yang tinggi serta tekanan darah yang tinggi, sesi kaunseling telah diberikan oleh pakar pemakanan bagi membantu mereka mengawal semula tahap kesihatan mereka seperti yang dikehendaki.


Biro Kebajikan juga amat terharu kerana terdapat beberapa warga Ikram yang telah berbesar hati mendaftarkan diri mereka dalam senarai “Penderma Organ” bersam NKF. Harapan kami, semoga lebih ramai lagi warga Ikram yang akan turut serta dalam usaha murni ini dengan mendaftarkan diri sebagai penderma organ.

Akhir sekali, Biro kebajikan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta yang sudi menghadiri ujian saringan kesihatan tersebut dan ribuan maaf dipinta di atas segala kelemahan dan kekurangan sepanjang program dijalankan.

“AMALKAN CARA HIDUP SIHAT, INSYA ALLAH SELAMAT DUNIA DAN AKHIRAT”

Disediakan oleh:

Mariam Jamilah Mohd Isa

(Setiausaha Biro Kebajikan)