Pages

27 September 2010

IFTAR PERDANA 2010

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, dengan keredhaanNYA, dapatlah bertemu dengan bulan Ramadhan Al Mubarak yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain. Di kesempatan bulan yang mulia ini, sekali lagi, Protasco Berhad dan KLIUC telah bersama-sama untuk menganjurkan IFTAR Perdana.

Pada tahun ini, pihak penganjur telah menjemput Anak-Anak Yatim Darul Fuqaha, Kg. Sg. Merab Luar, Kajang, untuk meraikan mereka semasa Iftar Perdana dimana buat pertama kalinya juga, Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan Ikram (KSKKI) telah diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mengendalikan dari awal hingga ke akhir bersama anak-anak yatim tersebut. Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha (MTDF) merupakan sebuah Institusi Pendidikan Integrasi (akademik, agama & hafazan) yang menyediakan peluang pendidikan PERCUMA untuk anak-anak yatim, anak-anak ibu tunggal dan faqir miskin. Ia mula beroperasi secara rasmi pada tanggal 16 Februari 2004.



Yang DiPertua dan ahli-ahli Jawatankuasa KSKKI bersama Ustaz Mohd Shahril bin Abd Samat telah berkunjung ke Rumah Anak-Anak Yatim Darul Fuqaha pada 20hb Ogos 2010, untuk memberikan sumbangan berbentuk baju melayu raihan dan kopiah (dipakai semasa Iftar Perdana) sambil beramah mesra bersama mereka serta berbincang untuk agenda Iftar Perdana yang akan berlangsung pada 24hb Ogos 2010 bersamaan 14 Ramadan 1431H.



Agenda Iftar Perdana adalah berbuka puasa dan Solat Maghrib, Makan Malam, Solat Isya’, Solat Terawih dan Tazkirah pula disampaikan oleh Ustaz Azrin bin Alias Pegawai Agama dari Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah Jawi dan diakhiri dengan moreh.



Sebelum bermulanya Iftar Perdana, AJK KSKKI telah menjemput anak-anak yatim Darul Fuqaha seramai 36 orang bersama Penolong Kanan MTDF, Ustaz Azlan, dengan menaiki bas KLIUC dan ketibaan mereka di sambut dengan persembahan nasyid Kumpulan E-Man dengan diiringi oleh Kumpulan Drum Simfoni. Persembahan bagi Iftar Perdana adalah di bawah pimpinan Ustaz Mohd Shahril bin Abd Samat. Anak-anak Yatim Darul Fuqaha juga memberikan persembahan pada hari itu dan ketibaan dif-dif kehormat membuka tirai dengan bacaan Al-Quran oleh adik Muhammad Zaid Rabbani bin Ismail dan disusuli dengan persembahan Nasyid dari adik Muhammad Ikmal Hakim bin Muzakkir, Muhammad Shahru Ramadhan bin Abdullah, Hafizuddin bin Ariffin, Muhammad Alif Omar bin Abdullah, Wan Muhammad Nur Baihaqiy bin Wan Nathruddin, Muhamad Anas Qayyim bin Ismail, Syafiq Syahiran bin Ruslie, Muhammad Aqeem Aiman bin Mohd Nawawi, Muhammad Nizar bin Ishak dan adik Muhammad Ikram bin Azharie.


Sebelum berbuka puasa, YBhg Tan Sri Datuk Dr. Hadenan bin A. Jalil telah sudi menyampaikan sumbangan duit raya kepada Anak-Anak Yatim Darul Fuqaha. Beliau telah diringi oleh YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli bin A. Hassan dan Prof. Dr. Zulkifli bin Abdul Hamid. Sumbangan yang diterima dari warga Protasco Berhad adalah sebanyak RM5,434.00. Sumbangan yang diterima bukan sahaja dapat membantu anak-anak yatim tersebut malah ianya juga untuk membantu pembinaan Kompleks Asrama Darul Fuqaha bernilai RM300,000.00 yang sedang berjalan di tapak Darul Fuqaha seluas 10,000 kp yang diwakafkan sekarang. Ianya akan menempatkan asrama pelajar-pelajar Darul Fuqaha & kelas pengajian Kolej Islam Fuqaha. Selepas moreh, lebih kurang jam 11.15 malam, AJK KSKKI telah menghantar pulang anak-anak yatim tersebut dengan menaiki bas KLIUC.




Iftar Perdana bersama Anak Yatim Darul Fuqaha diakhiri dengan bersahur bersama seramai 50 pelajar KLIUC ke Rumah Anak Yatim Darul Fuqaha lebih kurang jam 4.15 pagi dengan diketuai oleh Ustaz Mohd Shahril bin Abd Samat bersama “Executive Student Affair KLIUC”, Encik Alnovenra bin Tamzil sehingga waktu subuh.

Di kesempatan ini, saya bagi pihak KSKKI ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Protasco Berhad dan ahli-ahli KSKKI yang telah sudi menghulurkan sumbangan untuk Anak-Anak Yatim Darul Fuqaha dan terima kasih juga kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Iftar Perdana pada tahun ini yang boleh dianggap meriah sambil menjalinkan silaturrahim sesama insan.

Kemeriahan Ramadan adalah kemeriahan yang dikongsi bersama. Nilai ibadah diangkat berkali ganda oleh ALLAH agar umat Islam meraikan bulan ini dengan pengamalan yang bersungguh-sungguh demi keredhaanNYA. InsyaALLAH. AMIN.


Wassalam

Mazliha Ramli
Setiausaha Kehormat KSKKI



Jadikan Iftar sebagai tapak maklumat bersama.
Jadikan diri anda sebagai seorang yang mudah didampingi,
minda terbuka dan mesra dengan mengekalkan adab dalam Islam.