Pages

08 July 2010

Mesej Dari YDP

Kelab Sukan Dan Kebajikan Kumpulan Ikram (KSKKI) ditubuhkan sebagai wadah khusus untuk Ahli yang bekerja di bawah naungan Kumpulan Ikram Sdn Bhd (KISB). Kelab ini telah lahir sebelum Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) diswastakan pada tahun 1997. Pada ketika itu Kelab ini dikenali dengan nama Kelab Ikram.

Objektif awal penubuhannya adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim di antara Ahli yang dipisahkan oleh kedudukan geografi. Melalui aktiviti sukan dan rekreasi yang diadakan, Ahli dari Pejabat Wilayah di utara, timur dan selatan dapat berkumpul dan berinteraksi di antara satu sama lain dengan lebih akrab di samping bertukar-tukar pandangan dan pendapat berkaitan kerja.

Setelah IKRAM diswastakan, Kelab Ikram ditukar namanya kepada nama sekarang dan didaftarkan secara rasmi di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Pelbagai perubahan telah dilakukan baik dari segi struktur pengurusannnya sehinggalah kepada sumber pendapatan kewangannya yang sebelum ini hanya datang dari yuran keahlian semata-mata.

Pengarah Urusan KISB, YBhg. Dato’ Ir. Chong Ket Pen telah berbesar hati untuk menjadi Penaung KSKKI dari tahun 2007 sehingga sekarang. Jawatan ini diwujudkan selepas Tn. Hj. Nordin Abu Bakar melepaskan jawatan Yang Dipertua (YDP) yang dipegangnya mulai tahun 2000 hingga 2007. Beliau kemudiannya bertindak sebagai Penasihat KSKKI selepas itu sehinggalah persaraan beliau pada 13 April 2010. Jawatan Penasihat KSKKI kini digalas oleh Prof. Dr. Zulkifli Abd. Hamid, Presiden Kuala Lumpur Infrastructure University College (KLIUC).

Kini, KSKKI telah melebarkan lagi sayapnya dengan menambah keahliannya daripada kalangan kakitangan Protasco Trading Sdn Bhd yang menyertai KSKKI secara rasmi mulai tahun 2010.

Selain dari itu juga, KSKKI telah diberi kepercayaan untuk menjadi penganjur bersama dalam Kejohanan Protasco Tenpin Bowling Masters 2010 yang melibatkan KISB, HCM Engineering Sdn Bhd dan Roadcare (M) Sdn Bhd yang telah berlangsung selama dua hari pada Februari lalu di Sunway Pyramid.

Bulan berganti tahun, dan tahun 2010 dilihat sebagai tahun “Transformasi” atau tahun “Perubahan” kepada KSKKI. Bermula dengan transformasi perniagaan ke atas KISB, diikuti KLIUC, AJK Induk KSKKI merasa terpanggil untuk melaksanakan satu reformasi ke atas Kelab yang disayangi ini. Kelab harus berubah, minda AJK perlu berubah dan seterusnya minda Ahli juga harus berubah.

Melalui transformasi ini, adalah diharapkan agar KSKKI akan menjadi sebuah kelab yang sentiasa relevan dan sentiasa mengikuti arus perubahan semasa serta mampu untuk terus memberi sumbangan positif kepada KISB dalam meningkatkan lagi semangat dan produktiviti kerja kakitangannya.

Selain itu, bermula pada tahun 2010 ini juga, KSKKI akan berusaha untuk memperkenalkan dan menyemai konsep “Keempunyaan (Sense of Belonging)” dan konsep “1 Malaysia 1 Kelab”.

Justeru itu, AJK Induk KSKKI telah mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan proses transformasi ini akan membuahkan hasil seperti yang diinginkan. Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:-

1) Mewujudkan Visi, Misi, Motto dan Nilai-nilai Murni KSKKI.

2) Mengstruktur semula Organisasi KSKKI dengan mengambil langkah-langkah berikut:

a) Mewujudkan jawatan ‘Penasihat’ kepada setiap Biro, yang dilantik di kalangan AJK senior untuk berkongsi ilmu dan kepakaran serta pengalaman dengan AJK junior bagi memastikan aktiviti Biro menjadi lebih bermakna dan berkesan serta mencapai matlamatnya.

b) Menukar nama ‘Biro Publisiti dan Promosi’ kepada ‘Biro Informasi dan Komunikasi’ berdasarkan kepada peranan yang lebih luas dan yang lebih penting yang akan dimainkan oleh Biro ini sebagai agen atau penyedia dan penyampai maklumat berkaitan KSKKI dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

c) Mewujudkan ‘Biro Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan’ bagi mencari peluang perniagaan untuk menambah dan mengukuhkan lagi kewangan KSKKI agar lebih banyak aktiviti-aktiviti dapat diatur, dilaksana dan dimanfaatkan untuk Ahli.

3) Memastikan Ketelusan (Transparency) dengan mewujudkan dan melancarkan ‘Blog KSKKI’ sebagai medium untuk memberi maklumat berguna berkaitan KSKKI serta aktiviti KSKKI di samping berkongsi pendapat dan pandangan dengan Ahli dengan lebih telus, dekat dan teratur.

Untuk itu, kepada semua Ahli, AJK KSKKI amat-amat mengharapkan dan mengalu-alukan sokongan dan kerjasama jitu dan berterusan. Dengan kerjasama yang diberikan oleh semua, segala aktiviti yang dirancangkan akan dapat dijalankan dengan jayanya, insyaALLah. Kelab ini milik anda semua. Sayangilah Kelab anda. Keseronokan dan kemeriahan dalam berekreasi, bersosial dan bersukan secara khususnya dan dalam hidup secara amnya perlu datang dari dalam diri kita sendiri. Kami di pihak AJK hanya mengambil peranan sebagai fasilitator atau pemudah cara.

Bagi AJK-AJK yang telah dilantik, mereka telah berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengira masa dan ketika, tanpa mengabaikan tugas-tugas hakiki sebagai kakitangan KISB. Apa yang penting misi Kelab terlaksana dengan jayanya. Saya ingin memohon semua AJK supaya terus bekerja bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas bagi menjayakan segala aktiviti yang akan dijalankan sepanjang sesi 2010/2011 …demi Ahli yang dikasihi.

Akhir kata, saya amat mengalu-alukan sebarang pandangan serta teguran daripada semua Ahli demi memantapkan lagi KSKKI.

Sekian, terima kasih.

Yang Dipertua,

Zainal Abidin Abu Bakar

“KSKKI Cemerlang, Ahli Gemilang, KISB Terbilang”

No comments:

Post a Comment