Pages

16 February 2011

Majlis Makan Malam Retro 2010

Majlis Makan Malam Retro 2010

Kali terakhir diadakan 5 tahun yang lalu dan pada penggal 2010/2011, Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan Ikram (KSKKI) dengan jayanya dapat melaksanakan majlis makan malam yang penuh gilang-gemilang yang amat dinanti-nantikan oleh semua ahli KSKKI.

Hasil perancangan yang rapi oleh AJK KSKKI dengan kerjasama Perunding Aktiviti, UNIQUE Inc Services, dengan bertemakan RETRO, tanggal 29hb Januari 2011 bertempat di Grand Putrajaya Ballroom Putrajaya Marriott@Hotel IOI Resort Putrajaya, Majlis Makan Malam Retro 2010 Kumpulan Ikram anjuran bersama KSKKI dilangsungkan dengan dihadiri hampir 600 ahli dan juga tetamu jemputan.

AJK KSKKI

Keramahan, kemesraan dan kemeriahan dapat dirasai oleh semua ahli KSKKI kerana majlis tersebut mengeratkan lagi silaturahim antara ahli dari Ikram Kajang, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu dan tidak ketinggalan juga ahli yang beribupejabat di Kampung Pandan dimana inilah julung-julung kalinya dapat bersama-sama meraikannya dengan mengayakan pakaian mengikut tema yang telah ditetapkan.

Untuk menaikkan “mood RETRO” pada malam itu, sebuah VESPA telah diletakkan di ruangan mengambil gambar ala-ala “Red Carpet” dan pihak penganjur juga telah memberikan cenderahati untuk semua ahli KSKKI dan juga tetamu jemputan yang telah mendaftarkan diri bermula pada jam 7.00 hingga 8.00 malam.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan dari Pengerusi Majlis jemputan, Encik David Low. Beliau yang juga merupakan seorang penyampai radio popular di stesen Radio Sinar FM iaitu sebuah stesen radio yang terkenal dengan jolokan “Stesen Retro Terbaik Anda”. Pengalaman beliau sebagai seorang penyampai radio menjadikan majlis bertambah ceria dengan keletah dan keramahan beliau mengusik ahli dan tetamu pada malam itu.

Encik David Low - Radio Sinar FM

Dengan berkumandangnya lagu Gelora, bermulalah “gimik” yang telah dirancangkan oleh pihak penganjur dimana Yang DiPertua (YDP) KSKKI, Encik Zainal Abidin Abu Bakar telah menaiki VESPA dengan membonceng Naib Yang DiPertua (NYDP) KSKKI, Encik Mohamad Hafiz Belal Din untuk memberi ucapan aluan sebagai Pengarah Program pada majlis makan malam tersebut. Di kesempatan pada majlis itu juga, NYDP amat menghargai kehadiran dan sokongan dari semua ahli KSSKI dan juga para jemputan didalam menjayakan majlis tersebut termasuk program serta aktiviti anjuran KSKKI sepanjang penggal 2010/2011.

YDP & NYDP Menaiki VESPA

Agenda seterusnya, tetamu jemputan yang terdiri dari Penaung dan Penasihat KSKKI serta Pengerusi dan Pengarah Kumpulan IKRAM dijemput untuk sesi “Yee Sang” sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan menyusul tidak lama lagi. Kemudian disusuli dengan Persembahan Makan Malam ala-ala “ALADIN” oleh pihak hotel amat menarik sekali dan benar-benar menghiburkan menjadikan majlis pada malam itu bertambah indah, meriah dan ceria.

Sambil menjamu selera dengan hidangan ala Cina, para jemputan dihiburkan dengan persembahan ahli KSKKI yang mewakili 5 pejabat IKRAM dan pada masa yang sama cabutan bertuah dilakukan dengan diselang-selikan setiap kali selesai persembahan. Persembahan berbentuk pertandingan dan masih berlandaskan RETRO dimulakan dengan persembahan bertenaga tarian zapin dari IKRAM Selatan, disusuli oleh KLIUC dengan tarian antarabangsa manakala Boria oleh IKRAM Utara, diikuti sketsa wayang kulit dari IKRAM Timur dan akhir sekali IKRAM Ibupejabat yang membawa konsep 1Malaysia.

Persembahan daripada Ikram Selatan, Ikram Utara, Ikram Timur

Walaupun di dalam kesibukan bekerja untuk kerja-kerja hakiki tetapi komitmen dan kesungguhan ahli KSKKI terserlah semasa membuat persembahan yang menghiburkan dan mencuit hati dimana mendapat sokongan dan sorakan dari rakan-rakan ahli yang menyaksikannya.

Diikuti dengan persembahan KLIUC dan Ikram HQ

Disamping persembahan dari kalangan ahli, majlis makan malam ini turut dimeriahkan dengan persembahan oleh artis jemputan. Pihak jawatakuasa penganjur telah menjemput Buddy Loren, Penghibur Acara Korporat terkemuka Asia kelahiran Boston, Amerika Syarikat. Selama satu jam, beliau berjaya menggamatkan suasana pada majlis malam itu dengan nyanyian lagu-lagu Melayu, Tamil, Hindi dan Inggeris tahun 60’an hingga kini.
Gaya persembahan beliau yang mencuit hati serta kepetahan menyanyikan lagu-lagu popular tanahair menjadi tarikan untuk semua yang menonton terus ternanti-nanti kejutan beliau yang seterusnya.

Persembahan dari buddy Loren

Acara seterusnya merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli iaitu penyampaian hadiah bagi bahagian persembahan, pakaian terbaik ala retro dan cabutan bertuah dari tempat ketiga, kedua dan pertama.

Penyampaian hadiah dimulakan dengan acara pakaian RETRO terbaik. Seramai 3 orang ahli lelaki dan wanita telah dipilih berdasarkan gaya fesyen RETRO yang dipakai. Mereka diminta menggayakan tarian berdasarkan lagu yang dimainkan dan seterusnya penonton memilih pemenang berdasarkan tepukan dan sorakan.

Saudara Vincent Ting dari Paves Sdn. Bhd. telah dipilih sebagai pemengang bagi ketogori lelaki manakala saudari Thillai dari KLIUC pemenang untuk kategori wanita.


Seterusnya, Pengerusi Majlis mengumumkan pemegang bagi Meja RETRO terbaik. Pemilihan meja adalah dibuat berdasarkan keceriaan dan ketepatan tema RETRO yang dibawa.

Penyampaian hadiah bagi Pakaian RETRO terbaik dan Meja RETRO terbaik telah dibuat oleh Datin Nina Jureen, isteri kepada YBhg. Dato’ Mohd Ibrahim Mohd Nor, Pengerusi Kumpulan Ikram.

Penyampaian hadiah seterusnya adalah persembahan ahli terbaik dan juga hadiah cabutan bertuah utama. Majlis telah menjemput Datin Ho Chit Neo, isteri kepada YBhg. Dato’ Ir. Chong Ket Pen, Pengarah Urusan Kumpulan Ikram juga selaku Penaung KSKKI untuk penyampaian hadiah tersebut. Dato’ Ir. Chong Ket Pen juga telah menyumbangkan hadiah cabutan bertuah utama yang merupakan pakej percutian ke Bali. Senarai pemenang persembahan ahli adalah seperti berikut:

Pertama - IKRAM Ibupejabat

Kedua - IKRAM Utara

Ketiga - IKRAM Selatan

Keempat - KLIUC

Kelima - IKRAM Timur

Majlis Makan Malam Retro 2010 diakhiri dengan ucapan Yang DiPertua KSKKI dan keceriaan dan keriangan pada malam itu terpancar diwajah ahli dan tetamu dengan letupan “confetti” yang diletakkan di bawah meja.

Yang DiPertua KSKKI, En. Zainal Abidin Abu Bakar mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu dan ahli di atas komitmen dan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti KSKKI. Adalah menjadi harapan beliau agar sokongan ini dapat diteruskan.

KSKKI Cemerlang, AHLI Gemilang, KISB Terbilang

Wassalam

Mohamad Hafiz Belal Din / Mazliha Ramli

Naib Yang DiPertua KSKKI / Setiausaha Kehormat KSKKI

No comments:

Post a Comment