Pages

22 March 2011

Cuti-cuti ke Pulau Perhentian, Redang & Lang Tengah, Terengganu(Day 1)

Cuti-cuti ke Pulau Perhentian, Redang & Lang Tengah, Terengganu

5hb Mac 2011 – 7hb Mac 2011 (Sabtu – Isnin)

4hb Mac 2011 (Bertolak dari Ikram ke Terengganu, jam 10malam)

Sebelum berakhirnya penggal 2010/2011, Biro Rekreasi Dan Sosial (BRS) telah melaksanakan satu lagi program iaitu cuti-cuti di Terengganu. Program untuk aktiviti ini tidaklah begitu lasak TETAPI ianya sedikit mencabar untuk peserta yang menyertainya. Keindahan panorama, lokasi yang menempatkan perkampungan nelayan serta tarikan pantai yang memutih dengan aktiviti snorkeling serta terkenal di kalangan penggemar selam skuba dan pencinta fauna.

Seramai 27 peserta menyertainya dimana 25 orang terdiri dari ahli kelab manakala dua lagi adalah dari peserta luar. Percutian selama 3 hari 2 malam dan AJK BRS telah mengambil keputusan untuk bertolak pada sebelah malam pada 4 Mac 2011. Pendaftaran bermula jam 9.15 malam dan pada jam 10-malam, kami mula bergerak dari IKRAM ke Terengganu dengan menaiki bas dua tingkat Ekspres Mahligai. Sebelum bertolak, dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Wan Yahya bin Ibrahim@Wan Yusoff. Perjalanan mengambil masa lebih 7 jam dari IKRAM ke Kuala Besut, Terengganu.

Kira-kira jam 11.30 malam, kami sampai di Bentong dan berehat lebih kurang dalam satu jam untuk makan malam kerana ada kakitangan yang tidak sempat makan malam kerana kesibukan bekerja disiang hari. Perjalanan kemudiannya diteruskan dan kami tiba di Masjid Hadhari Jerteh, Terengganu, jam 6.30 pagi untuk menunaikan solat suboh. Selepas solat, kami meneruskan perjalanan untuk ke Jeti Jabatan Laut, Kuala Besut. Kira-kira jam 7.45 pagi kami tiba di Kuala Besut dan terus bersarapan pagi sementara menunggu AJK BRS menguruskan tiket serta penginapan para peserta untuk ke Pulau Perhentian.


Hari Pertama

Hari Sabtu, 5.3.11, jam 8.45 pagi, kami bertolak dari jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian dengan menaiki bot laju. Sepanjang menaiki bot tersebut, peserta teruja dengan cabaran buat pertama kalinya menaiki bot laju dengan mengharungi laut dalam serta melihat keindahan lautan biru yang luas dan pulau-pulau kecil yang berdekatan ditambah dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang menenangkan. Ianya mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai ke destinasi.

Sesampai di Pulau Perhentian, kami dihidangkan dengan “Wellcome Drink” dan juga diberikan kunci untuk bilik penginapan. Para peserta menginap di “B First Chalet” dan kami berpuashati dengan layanan mesra Encik Azman atau dengan panggilan Abang Man sepanjang kami berada di sana selama 3 hari.

Para peserta mengambil peluang untuk merehatkan diri untuk melepaskan kepenatan setelah mengharungi perjalanan yang panjang dari Kuala Lumpur sementara menunggu sajian untuk makan tengahari pada jam 12.30 tengahari. Selepas menunaikan solat, kira-kira jam 2.30 petang, kami dibawa ke jeti untuk meneruskan aktiviti pertama snorkeling di sekitar Pulau Perhentian.

Dua buah bot laju telah disediakan dan ianya juga merupakan pengangkutan untuk kami semasa berada di pulau. Keseronokan menaiki bot laju amat sukar hendak digambarkan dan pengalaman tidak akan dapat dilupakan oleh para peserta. Walaupun, para peserta merasa agak gementar tetapi dengan kecekapan pemandu pelancong, alhamdullillah perjalanan kami selamat dari awal hinggalah hari terakhir kami berada di sana. Encik Rashid, Encik Awie dan Encik Asrol adalah pemandu pelancong kami sepanjang kami menaiki bot laju untuk melakukan aktiviti snorkeling.

Aktiviti snorkeling pada hari pertama adalah di Pulau Perhentian Ala Resort dimana dengan pasir yang memutih serta air yang cukup jernih, para peserta boleh belajar mengapungkan diri dan seterusnya dapat melihat ribuan ikan dalam jarak yang cukup dekat. Buat pertama kalinya, kami dapat melihat gamat, sejenis hidupan laut yang banyak khasiatnya. Semuanya bagaikan mimpi sedangkan realitinya begitulah hebatnya kuasa sang pencipta. Lebih kurang dua jam berada di Pulau Perhentian Ala Resort, kami dibawa pula ke Pulau Perhentian Besar untuk aktiviti snorkeling seterusnya. Puas melihat keajaiban ciptaan Illahi, kami kemudiaanya di bawa ke satu tempat yang diberi nama “Air Berani”. Sehingga sekarang tempat ini masih lagi menjadi misteri kerana tidak tahu dari mana punca mata air tersebut. Setelah puas bermandikan dengan air masin, kami diberi peluang untuk merasa kesejukan air ini dan ada sesetengah pihak mengatakan air ini juga boleh diniatkan untuk mencari jodoh.

Jam 8.00 malam, hidangan makan malam telah menunggu. Para peserta menikmati hidangan dengan deruan ombak yang memukul pantai bersama bayu laut yang menyegarkan menambahkan selera kami untuk menikmati hidangan. Setelah selesai makan malam, para peserta mengambil kesempatan untuk bersiar-siar dipersisiran pantai sambil bergambar. Candat sotong yang dicadangkan pada malam itu untuk sesiapa yang berminat tidak dapat dilakukan diatas nasihat “tour guide”.

(Hari kedua bersambung ke entri berikutnya)

No comments:

Post a Comment