Pages

29 March 2011

Cuti-cuti ke Pulau Perhentian, Redang & Lang Tengah, Terengganu ( Day 2)

Hari Kedua

Pada keesokkan harinya, Ahad, jam 7.30 pagi, para peserta telah bersiap sedia untuk bersarapan pagi dan tepat jam 9.00 pagi, kami telah berangkat ke jeti untuk bertolak ke Pulau Redang.

Pulau Redang adalah salah satu pulau yang terbesar dan yang tercantik di pantai timur Malaysia. Ianya terletak di perairan Laut China Selatan merupakan salah satu daripada sembilan buah pulau yang membentuk taman laut Kepulauan Redang, di Negeri Terengganu, Malaysia, serta tapak pemuliharaan penyu yang penting. Pulau ini kini merupakan sebuah pulau peranginan yang amat popular di kalangan orang Malaysia.

Perairan di sekeliling Pulau Redang juga mengandungi dua buah bangkai kapal yang bersejarah, iaitu H.M.S Putera Wales dan H.M.S Repulse yang telah ditenggelamkan di sini pada permulaan Perang Dunia II dan mewujudkan suasana bagi pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Pulau-pulau lain yang berhampiran termasuk Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian Besar, Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Bidong.

Perjalanan mengambil masa satu jam dari Pulau Perhentian ke Pulau Redang dengan menaiki bot laju. Setibanya di Pulau Redang, kami meneruskan aktiviti snorkeling dan melihat pelbagai batu karang menghiasi dasar laut taman ini. Kamera pakai buang “underwater” adalah salah satu pilihan untuk merakam gambar di dalam air.

Encik Rashid ada juga memaklumkan kepada kami, salah satu lokasi taman laut yang sering dikunjungi oleh para pelancong adalah yang terletak di sebuah pulau kecil bernama Pulau Pinang bersebelahan Pulau Redang. Dahulunya ianya merupakan salah satu tapak perkampungan penduduk Pulau Redang dimana akan dapat dilihat kubur-kubur lama peninggalan penduduk terdahulu dan kini dikenali sebagai Taman Laut Malaysia (Marine Park), Pulau Redang.

Kira-kira jam 12.00 tengahari, kami bertolak ke Taman Laut Malaysia (Marine Park) Pulau Redang. Juadah untuk makan tengahari telah tersedia dan menunggu ketibaan kami. Lebih satu jam kami beristirehat sambil menjamu selera, aktiviti snorkeling diteruskan lagi. Di “Marine Park”, ribuan ikan pelbagai jenis dan warna menanti dan ikan-ikan ini sungguh jinak terutamanya jika dihulurkan cebisan roti. Pelbagai batu karang juga dapat dilihat menghiasai dasar laut taman ini.

Para peserta amat teruja dan merasa begitu seronok semasa berada di Marine Park. Rasanya tidak puas aktiviti bermain ombak di pantai, kami terpaksa beredar untuk ke Pulau Lang Tengah pula. Tiba di Pulau Lang Tengah, para peserta diminta berehat dan menikmati keindahan alam semulajadi serta diberi peluang untuk melihat barang-barang di kedai cenderahati. Peluang juga tidak dilepaskan oleh para peserta yang membawa bekalan untuk dimakan beramai-ramai sambil menikmati deruan ombak pantai.

Lebih kurang setengah jam berada di Pulau Lang Tengah, kami dibawa pula ke Pulau Lang Tepi. Aktiviti snorkeling diteruskan lagi dan jelas pelbagai jenis ikan dapat dilihat. Sebelum pulang ke tempat penginapan, kami sekali lagi diberi peluang untuk mandi-manda di “Air Berani”. Jam 5.30 petang kami tiba di Pulau Perhentian dan masing-masing merehatkan diri sementara menunggu juadah makan malam. Abang Man telah menyediakan BBQ pada malam tersebut.

No comments:

Post a Comment